Asal Usul Sembahyang

SUBUH

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu tatkala ia keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan ia berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: bersyukur ia kerana terlepas dai kegelapan malam.
Rakaat kedua: bersyukur ia kerana siang telah menjelma.

ZOHOR

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.

Rakaat per 1: bersyukur bagi penebusan
Rakaat ke 2: bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya
Rakaat ke 3: bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat ke 4: bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan qibas.

ASAR

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala ia dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang waktu itu telah masuk Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kelana ia telah diselamatkan Allah dari 4 kegelapan iaitu:

Rakaat per 1: kelam dengan kesalahan
Rakaat ke 2: kelam dengan air laut
Rakaat ke 3: kelam dengan malam
Rakaat ke 4: kelam dengan perut ikan Nun

MAGHRIB

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s. tatkala ia dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan itu, iaitu:
 
Rakaat per 1 Untuk menafikan ketuhanan selain dari Allah yang Maha Esa. 
Rakaat ke 2 Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang dituduh telah melakukan perbuatan sumbang. 
Rakaat ke 3 Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua tiada dua atau tiga. 

ISYAK

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tempat bersyukur.

Rakkat per 1: dukacita terhadap isterinya
Rakaat ke 2: dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun
Rakaat ke 3: dukacita terhadap Firaun
Rakaat ke 4: dukacita terhadap anak Firaun


Sebab-Sebab Tidak Termakbul Doa

Petikan daripada buku Hadith 40.

Ketika Ibrahim bin Adham (seorang ahli tasawwuf yang masyhur) berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai. Di antara mereka ada yang bertanya: Mengapakah doa mereka tidak dikabulkan Allah pada hal mereka selalu berdoa kepadaNya? Beliau menjawab: Kerana hati kamu buta disebabkan sepuluh perkara iaitu:

  1. Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan hakNya.
  2. Kamu sangka bahawa kamu cinta kepada Rasulullah S.A.W. tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
  3. Kamu telah membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
  4. Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukurNya.
  5. Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.
  6. Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.
  7. Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya.
  8. Kamu telah berkata bahawa mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia baginya.
  9. Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
  10. Kamu kebumikan mayat-mayat manusia tetapi kamu tidak mengambil iktibar (pelajaran) daripada mereka.
 "Maka takutlah kepada Allah barang sekuasa kamu." (Al-Taghabun:16)

 


First created : Monday, 11 May 1998, 10.04 pm.

© 1996 Hazhar Ismail